Bentley Music Group Berhad (Registration No: 202501023365 (1624778-H))
FEATURED NEWS

Bentley Music, Juara jalin kerjasama

Bentley Music and Juara Partners

Bentley Music Sdn Bhd (Bentley Music), anak syarikat Bentley Music Group Berhad, menjalin kerjasama strategik dengan Juara Partners Sdn Bhd (Juara) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menawarkan pelan pembiayaan patuh syariah khusus kepada penjawat awam.

Inisiatif itu dilihat sebagai langkah memperluas akses kepada pemilikan alat muzik serta pendidikan muzik secara lebih inklusif, sejajar dengan usaha memperkasa pembangunan bakat kreatif negara.

Juara Partners, penyedia perkhidmatan pembiayaan patuh syariah berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bertindak sebagai rakan pembiaya dalam inisiatif berkenaan.

MoU itu ditandatangani Pengarah Urusan Bentley Music, Datuk Dr Ken Phua dan Pengarah Juara Partners, Datuk Kamari Zaman Juhari pada satu majlis di Wisma Bentley, di Mutiara Damansara, di sini, baru-baru ini.

Kamari Zaman berkata, kerjasama itu bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai individu, khususnya penjawat awam, untuk mendapatkan akses pembiayaan bagi memiliki instrumen muzik.

"Ini penting kerana akses kepada pembiayaan bagi instrumen muzik tidak mudah diperoleh melalui institusi perbankan biasa.

"Melalui Juara Partners, individu berpeluang merealisasikan minat dan impian mereka dalam bidang muzik," katanya kepada BH Online.

Beliau berkata, golongan sasaran boleh memulakan pembelajaran dengan instrumen asas seperti gitar, piano dan papan kekunci sebelum beralih kepada tahap lebih tinggi.

Katanya, pendekatan berperingkat itu penting bagi memastikan pembangunan kemahiran muzik berlaku secara sistematik dan mampan.

Sementara itu, Ken Phua berkata, Bentley Music menawarkan rangkaian instrumen muzik yang luas dan pada harga berpatutan bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, dengan kira-kira 1.6 juta penjawat awam daripada keseluruhan 34 juta penduduk Malaysia, potensi pasaran bagi inisiatif itu adalah signifikan.

"Tidak semua akan mengejar impian muzik mereka, namun ada yang mahu memberi peluang kepada anak-anak atau keluarga untuk mempelajari muzik.

" Muzik juga terbukti membantu meningkatkan perkembangan intelek kanak-kanak serta memberi ketenangan, sekali gus menyumbang kepada pencapaian akademik yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Kamari Zaman berkata, sasaran inisiatif itu bukan sahaja pelajar, malah merangkumi pemuzik separa profesional dalam kalangan penjawat awam.

"Kami percaya terdapat ramai individu yang mempunyai kemahiran asas, tetapi memerlukan platform untuk mengasah bakat mereka.

"Malah, ada dalam kalangan mereka yang bergiat secara profesional sebagai penghibur," katanya.

Menerusi kerjasama itu, penjawat awam boleh mendaftar kelas di Bentley Music Academy (BMA) di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Selain itu, mereka turut berpeluang memiliki instrumen muzik melalui bilik pameran runcit Bentley Music di beberapa lokasi utama termasuk Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Kerjasama ini memperkukuh komitmen Bentley Music dalam menjadikan muzik lebih mudah diakses, selain memupuk generasi bakat kreatif baharu di Malaysia.

Dengan penyediaan pembiayaan yang tersusun dan bertanggungjawab, penjawat awam serta komuniti umum dapat membabitkan diri dalam pembelajaran muzik dan memiliki instrumen berkualiti tinggi.

Inisiatif itu menyatukan tiga komponen utama iaitu Juara Partners sebagai pembiaya, Bentley Music sebagai pembekal alat muzik, dan Bentley Music Academy sebagai penyedia pendidikan.

Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama tersebut dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan yang mudah diakses dan berpatutan.

Source:

This news article is reproduced from BH Online.

Original Article: Bentley Music, Juara jalin kerjasama

© BH, New Straits Times Press (M) Bhd. All rights reserved. This content is published here for informational purposes regarding Bentley Music Group Berhad.